Saturday, June 19, 2010

Kembara Raudhah 16: Salam Selamat Hari Bapa



Esok Hari Bapa sedunia. Selamat Hari Bapa kepada semua Bapa2. Bapaku dah 6 tahun meninggalkan kami semua dan Bapa kepada anak2ku dan 8 tahun meninggalkan kami.Al Fatihah utk arwah berdua semoga mereka ditempatkan dlm kalangan hamba2 yang beriman.

Terkenang perihal arwah pak, pak merupakan seorang anak yang sangat taat kepada ibunya. Pak setia menjaga dan merawat arwah tok selama 40 tahun sejak pak muda remaja lagi. Selepas Pak berkahwin Pak terus menjaga tok bersama mak kerana tak lama selepas tu tok wan meninggalkan dunia yang fana ini. Pak tinggal sebatang kara kerana kakaknya arwah Mak Ngah Sara terlebih dahulu pergi dan meninggalkan seorang anak kecil iaitu Abang Ani yang terus dipelihara oleh tok dan tok wan, seterusnya pak dan mak. Abang Pak iaitu Wa Adam juga pergi lebih dulu daripada tok wan dan meninggalkan seorang balu dan empat orang anak(Bang Pa, Bang Mid, Kak Ani dan Bang Ya). Akhirnya tinggallah Pak merawati tok sehingga tok akhirya dijemput pulang oleh Rabbnya pada tahun 1990, tahun aku mula2 masuk ke UKMS.

Sakit tok tak dapat diubati walau bermacam2 bomoh, doktor, klinik dah dikunjungi. Pak masa muda mengayuh basikal ke mana saja mencari tabib untuk merawat tok. Begitulah kasihnya pak pada maknya. Tak pernah sekalipun pak merungut letih atau menjawab kata2 tok. Almaklumlah sakit tok yang tok boleh berjalan hanya mengesot kadang2 memang banyak karenahnya. Tambah2 lagi tok kerap kali sembelit. Pak tetap tega dan sabar merawat tok, malah selalu Pak dan Mak mencungkil, mengepam najis tok yang keras , ada kala tersembur najis ke muka Pak dan Mak. Tapi Pak tak pernah merungut. Sepanjang masa tok sakit, pak tak pernah meninggalkan tok lama2. Hanya setelah tok meninggal barulah pak berpeluang untuk keluar berjalan2 agak jauh ke Kuala Lumpur ke rumah Kak Wa ku yang sulong.
Anak pak ramai, kami 10 beradik. Masa tu pak hanya buat bendang. Mana nak cukup belanja termasuk rawatan tok. Tapi pak tetap menjaga tok dengan penuh kasih sayang. Pak pernah kena sakit barah perut ketika mak melahirkan Kak Noreha, badan Pak kurus kering, pak tak boleh kerja keras. Namun kasih pak pada tok tetap bersemi di hatiya. Pernah ketika aku membantu mak mencari geran tanah yang disimpan oleh Pak setelah ketiadaannya, aku terjumpa sajak karangan pak bertajuk Kasihkan Ibu. Tatkala membaca luahan hati pak terhadap maknya yang sakit hatiku bagai disayat sembilu, terasa sungguh pilu.

Setahu aku Pak memang ada jiwa seniman. Pak selalu bernasyid dan berqasidah. Daripada cerita2 orang tua2, Pak dulunya selalu main watak Puteri dlm pementasan hadrah di kampung2 ketika itu. Mungkin darah itulah yang mengalir dlm diri adikku Yusrizal. Pak juga sangat suka bercerita pasal ibadat haji. Di hujung2 hayatnya, tak ada cerita lain yang dia suka melainkan pasal pengalaman dan ilmu tentang ibadat haji. Malah ketika pembedahan dilakukan ke atas Pak, Pak masih bercerita tentang ibadat haji dan umrah.Lagipun pak baru sebulan pulang dari mengerjakan umrah, kemudian pak terus sakit yang sebenarnya dah lama pak tanggung. Ketika itu Pak dibius separuh badan, perut Pak dikeluarkan untuk diperiksa. Batu dalam hempedu pak juga telah dibuang.Namun sehari selepas pembedahan Pak akhirnya meninggal dunia kerana Pankreas pak pecah atau sebab Pancreatitis. Malah masa Pak diletakkan dlm wad ccu selepas pembedahan Pak sempat azan, pak seperti ingat2 lupa mungkin kerana kesan kuatnya morfin yag disuntik utk Pak menahan kesakitan. Cerita Pak di dalam bilik pembedahan tu kami ketahui hanya selepas Pak meninggal kira2 seminggu. Saudara Pak di stesen keretapi mendengar cerita daripada menantunya yang bertugas dalam bilik pembedahan tersebut. Menantunya tak kenal siapa pak.

Pak juga seorang tok wan yang penyayang. Walau zahirnya Pak nampak garang, namun Pak sangat suka bila cucu2nya pulang. Pak sentiasa berdoa agar dia dapat menjaga anak2ku yang kematian bapa sehingga anak2ku dewasa. Pak minta Allah panjangkan sedikit lagi umurnya supaya dia dapat membela anak2ku, namun takdir Allah telah tiba, sampai 63 tahun saja umur pak. Aku redha atas segala ketentuannya. Masihku ingat lagi Pak bersendirian, bersusah payah mengetuk dinding simen rumah Pak untuk dijadikan laluan ke rumahku yang bersambung dengan rumah pak. Ketika itu Pak memang dah sakit, perutnya membuncit keras, selalu pak rasa sakit dan sembelit. Tapi pemeriksaan doktor tak dapat kesan penyakit Pak.

Aku juga masih ingat akan kenangan zaman kami kecik2. Time hari raya dah dekat, Pak pasti akan ke Pekan Tunjang untuk membeli kasut baru. Pak tak bawa kami ke Tunjang, tapi Pak akan ukur panjang kaki kami adik-beradik menggunakan tali rafia. Waktu aku sakit gigi Pak bawa aku ke Klinik Jitra utk cabut gigi. Aku naik bas dengan Pak. Waktu balik, pak kayuh basikal tuanya, baju aku penuh dengan darah. Sampai rumah mak demah mulut aku. Waktu malam pula aku tidoq dgn Pak. Aku terjaga kerana sakit gigi, Pak kejutkan aku dan Pak turun ke bawah rumah, pak cari buah jambu air warna hijau utk aku. Apabila menjelang bulan ramadhan pula, waktu itulah kami adik beradik dapat makan gulai daging, kerana Pak pasti akan ke Tunjang mencari daging lembu buat juadah bersahur nanti. Waktu bangun sahur, Paklah yang kecoh menggerak kami utk bangun bersahur, sbb mak sibuk menyiapkan juadah bersahur. Menjelang Hari Raya puasa, Pak seperti biasa akan membeli seguni beras, kemudian disukat beras fitrah orang di bawah tanggungannya. Yang pasti Pak tak pernah lupa menyukat segantang beras utk disedekahkan bagi pihak arwah Tok Wan, dan kemudiannya menyusul pula arwah Tok. Malam hari raya pasti Pak mendesak Mak masak ketupat lebih awal supaya Pak boleh bawa juadah tersebut ke surau bagi dibuat kenduri arwah selepas bertakbir dan bertahlil. Setiap kali selepas solat pada malam raya dan selepas solat subuh pagi Hari Raya Aidilfitri dan hari2 Tasyrik pasti akan kedengaran Pak bertakbir dan bertahmid. Biasanya Pak akan segera bersolat setiap kali masuk waktu solat. Teringat aku zaman kecik2 Pak ada bela lembu dan kerbau juga. Bila tiba kenduri kahwin anaknya, lembu dan kerbau itulah yang dikorbankan. Itulah Pak sosok tubuh yang sangat aku sayangi. Kini Pak telah tiada utk aku ucapkan Selamat Hari Bapa dan Terima Kasih Pak. Hanyalah kiriman doa tulus ikhlas daripada anakmu.

Aku yakin Pak telah mendapat balasan baik daripada Allah Taala atas ketaatan Pak yang menjaga tok dengan penuh kasih sayang, Pak tak pernah menyakiti hati tok walaupun kadangkala Pak terpaksa buat keputusan yang melukakan hati mak semata2 nak menjaga hati tok. Akhirnya Pak meninggal dalam keadaan wajah Pak tersenyum manis, bercahaya dan orang yang menziarahi dan menyolatkan jenazah Pak sungguh ramai seolah2 Pak seorang yang berpengaruh, sedangkan Pak bukanlah siapa2 pun di kampung kami. Pak selalu berkain pelikat tanpa baju dengan perutnya yang membuncit dan tegang sejak Pak alami sembelit. Pak juga suka berkaki ayam ketika ke bendang. Memang tapak kaki Pak tahan lasak. Selalu juga aku nampak Pak solat Maghrib dengan tampalan kertas pada betisnya yang berdarah kerana digigit pacat atau lintah bendang.

Untuk mengikuti sikap Pak bukannnya mudah. Semoga Allah membimbing kami adik beradik menjadi anak yang soleh dan dapat menjaga kebajikan dan perasaan mak dengan penuh ketaatan. Kerana keredhaan Allah tergantung kepada keredhaan ibu. Kehilangan Pak begitu dirasai oleh kami terutama mak yang melalui zaman susah dan senang bersama2 Pak. Kini Mak menanggung segala cabaran hidup tanpa pak di sisi.

No comments:

Post a Comment