Saturday, May 7, 2011

kembara Raudhah 39: Selamat Hari Ibu 2011



Kehebatan seorang anak lahir dari seorang ibu yang hebat. Kemenangan seorang anak adalah kerana seorang ibu yang tak pernah menyerah. Syurga itu menjadi rendah di bawah telapak kaki ibu kerana kau ibu yang sentiasa menjaga amanah.... SELAMAT HARI IBU....BUAT IBU TERSAYANG ... KHALAJIAH BT HANAPIAH. Semoga anak-anakmu berjaya menjadi ibu berjaya menunaikan amanah daripada Allah dengan cemerlang.

Wednesday, March 23, 2011

Kembara Raudhah 38: Apabila Rasa Malas Menjengah

Sesekali tiba juga rasa malas untuk meneruskan aktiviti seharian. Malas....malas......malas, oops jangan kau lupa malas itu cuba memerangkap anda untuk membuang masa dengan duduk-duduk saja tanpa apa-apa hasil. Ayuh bangun dan berlari terus kerana masa tidak menunggu kita. Umur ialah modal untuk kita berniaga, amal itulah untung dalam perniagaan kita jika strategi  perniagaan kita betul dan berkesan. Nak berkesan mestilah dengan ilmu yang mantap, so apa lagi marilah kita sama-sama perangi sifat malas dengan memanfaatkan umur kita yang tinggal sedikit ini untuk melipatgandakan keuntungan perniagaan kita di dunia sebagai bekalan menuju negeri yang abadi, insyaallah. Jangan biarkan hidup kita akhirnya gelap apabila padamnya cahaya iman.........

Saturday, January 15, 2011

Awal tahun 2011 bermula : Alam baru utk Muaz dan Ammar

Awal tahun ini merupakan saat yang mencabar buat Ammar dan Muaz yang terpaksa memulakan kehidupan berdikari. Perpisahan dengan keluarga untuk meneruskan misi menuntut ilmu adalah pengalaman baru buat Ammar dan Muaz. Jua saat yang perlu aku tangani dengan  bijaksana jika sebarang situasi  berbangkit wujud kemudiannya.

Ya Allah,tabahkanlah hati anak-anakku dalam mengharungi perpisahan ini. Ternyata minggu pertama adalah saat yang amat kritikal untuk mereka. Kubekalkan mereka dengan air yang dibacakan 30 juzuk al-quran,mudah-mudahan berkat ayat-ayat suci ini dapat menenangkan perasaan,menetapkan keyakinan, dan menerangkan hati mereka. Aku tidak begitu risaukan Ammar  kerana di sana mereka tiga sepupu belajar dalam  kelas yang sama. Yang kurisaukan ialah Muaz yang seorang diri berkelana di Darul  Quran yang masih serba kekurangan.

Ternyata telahanku kurang tepat. Ammar telah tewas menghadapi  saat ini.  Dia tidak  kuat  untuk memujuk hatinya supaya tinggal di asrama.  Dia pulang pada  hujung minggu ke rumah tetapi gagal untuk pulang semula ke asrama  walaupun sepupunya yang lain tiada sebarang masalah.  Dia  memang tidak  mahu tinggal di asrama. Pening kepala aku apabila dia buat hal, tetapi ku biarkan dulu.  Terpaksalah ku telefon ke pejabat sekolah menyatakan dia demam. Demamnya kerana mindanya yang mempengaruhi justeru segala energinya menjadi lemah.Dua hari kubiarkan saja dia di rumah melayan perasaannya sendiri. Pak Tamnya memberi kata dua kepadanya jika mahu terus belajar dia tetap kena tinggalkan rumah, jika tidak dia juga kena tinggalkan rumah untuk pergi bekerja. Akhirnya dia memilih untuk ke asrama. Alhamdulillah kini  dia  telah  dapat memikirkan tujuannya ke sekolah dan meneruskan pelajarannya seperti biasa.

Muaz pula,alhamdulillah dapat menahan  hatinya daripada rasa  rindu untuk pulang ke rumah  walaupun ada pelajar lain yang tewas.  Cuma Muaz masih gagal  menguruskan barangan peribadinya. Justeru terpaksalah aku mengunjunginya setiap hujung minggu memantau dan mengarah  supaya segala barangan peribadi terutama pakaian dibasuh dan disimpan dengan kemas. Minggu pertama sarung bantalnya koyak rabak, minggu kedua sarung tilamnya pula koyak. Yang itu hilang, yang ini hilang. Alahai Muaz, semoga cepat-cepatlah dirimu bijak menguruskan diri.  Alhamdulillah 2 minggu di Darul Quran Muaz dah tamat juzuk Amma.  Kini  Muaz dah mula menghafaz juzuk Al Baqarah. Semoga Allah mempermudahkan segala untuk anak-anakku.


Begitulah anak-anakku mengharungi alam baru. Semoga yang terbaik buatmu anak-anakku.