Saturday, September 15, 2012

Keputusan Penting

Pening memikirkan ke mana tempat yang paling sesuai untuk ku hantar Muhammad Mu'az sambung belajar apabila umurnya mencecah 13 tahun 2013 nanti. Semoga Allah memberi petunjuk kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuknya. Amiiin.

Monday, March 19, 2012

Kembara 1: 2012.

 Lama tak bersua. Sibuk tak sempat nak berkarya. Kasihan blog aku, slide pun dah hilang gambarnya dah kena shutting down, miss information tak sempat nak eksport. Tak pe nanti ada masa do it again. Ubah pi ubah mai, lagu pun dah hilang juga. Okay, sekadar itu dulu sebagai memanaskan semangat untuk kembali menulis catatan yang tidak seberapa ini.

Saturday, May 7, 2011

kembara Raudhah 39: Selamat Hari Ibu 2011



Kehebatan seorang anak lahir dari seorang ibu yang hebat. Kemenangan seorang anak adalah kerana seorang ibu yang tak pernah menyerah. Syurga itu menjadi rendah di bawah telapak kaki ibu kerana kau ibu yang sentiasa menjaga amanah.... SELAMAT HARI IBU....BUAT IBU TERSAYANG ... KHALAJIAH BT HANAPIAH. Semoga anak-anakmu berjaya menjadi ibu berjaya menunaikan amanah daripada Allah dengan cemerlang.

Wednesday, March 23, 2011

Kembara Raudhah 38: Apabila Rasa Malas Menjengah

Sesekali tiba juga rasa malas untuk meneruskan aktiviti seharian. Malas....malas......malas, oops jangan kau lupa malas itu cuba memerangkap anda untuk membuang masa dengan duduk-duduk saja tanpa apa-apa hasil. Ayuh bangun dan berlari terus kerana masa tidak menunggu kita. Umur ialah modal untuk kita berniaga, amal itulah untung dalam perniagaan kita jika strategi  perniagaan kita betul dan berkesan. Nak berkesan mestilah dengan ilmu yang mantap, so apa lagi marilah kita sama-sama perangi sifat malas dengan memanfaatkan umur kita yang tinggal sedikit ini untuk melipatgandakan keuntungan perniagaan kita di dunia sebagai bekalan menuju negeri yang abadi, insyaallah. Jangan biarkan hidup kita akhirnya gelap apabila padamnya cahaya iman.........

Saturday, January 15, 2011

Awal tahun 2011 bermula : Alam baru utk Muaz dan Ammar

Awal tahun ini merupakan saat yang mencabar buat Ammar dan Muaz yang terpaksa memulakan kehidupan berdikari. Perpisahan dengan keluarga untuk meneruskan misi menuntut ilmu adalah pengalaman baru buat Ammar dan Muaz. Jua saat yang perlu aku tangani dengan  bijaksana jika sebarang situasi  berbangkit wujud kemudiannya.

Ya Allah,tabahkanlah hati anak-anakku dalam mengharungi perpisahan ini. Ternyata minggu pertama adalah saat yang amat kritikal untuk mereka. Kubekalkan mereka dengan air yang dibacakan 30 juzuk al-quran,mudah-mudahan berkat ayat-ayat suci ini dapat menenangkan perasaan,menetapkan keyakinan, dan menerangkan hati mereka. Aku tidak begitu risaukan Ammar  kerana di sana mereka tiga sepupu belajar dalam  kelas yang sama. Yang kurisaukan ialah Muaz yang seorang diri berkelana di Darul  Quran yang masih serba kekurangan.

Ternyata telahanku kurang tepat. Ammar telah tewas menghadapi  saat ini.  Dia tidak  kuat  untuk memujuk hatinya supaya tinggal di asrama.  Dia pulang pada  hujung minggu ke rumah tetapi gagal untuk pulang semula ke asrama  walaupun sepupunya yang lain tiada sebarang masalah.  Dia  memang tidak  mahu tinggal di asrama. Pening kepala aku apabila dia buat hal, tetapi ku biarkan dulu.  Terpaksalah ku telefon ke pejabat sekolah menyatakan dia demam. Demamnya kerana mindanya yang mempengaruhi justeru segala energinya menjadi lemah.Dua hari kubiarkan saja dia di rumah melayan perasaannya sendiri. Pak Tamnya memberi kata dua kepadanya jika mahu terus belajar dia tetap kena tinggalkan rumah, jika tidak dia juga kena tinggalkan rumah untuk pergi bekerja. Akhirnya dia memilih untuk ke asrama. Alhamdulillah kini  dia  telah  dapat memikirkan tujuannya ke sekolah dan meneruskan pelajarannya seperti biasa.

Muaz pula,alhamdulillah dapat menahan  hatinya daripada rasa  rindu untuk pulang ke rumah  walaupun ada pelajar lain yang tewas.  Cuma Muaz masih gagal  menguruskan barangan peribadinya. Justeru terpaksalah aku mengunjunginya setiap hujung minggu memantau dan mengarah  supaya segala barangan peribadi terutama pakaian dibasuh dan disimpan dengan kemas. Minggu pertama sarung bantalnya koyak rabak, minggu kedua sarung tilamnya pula koyak. Yang itu hilang, yang ini hilang. Alahai Muaz, semoga cepat-cepatlah dirimu bijak menguruskan diri.  Alhamdulillah 2 minggu di Darul Quran Muaz dah tamat juzuk Amma.  Kini  Muaz dah mula menghafaz juzuk Al Baqarah. Semoga Allah mempermudahkan segala untuk anak-anakku.


Begitulah anak-anakku mengharungi alam baru. Semoga yang terbaik buatmu anak-anakku.

Thursday, December 23, 2010

Kembara Raudhah 37: Rutin Lama Kembali Semula Dengan Nafas Baru!!!!!!

Rutin hidup waktu bekerja akan kembali semula. Minggu depan 26.12.2010 bermula mesyuarat Guru yang pertama. Selepas itu, pendaftaran pelajar baru serta minggu orientasi.Pasti banyak tugas menanti untuk tahun 2011. Nama pun pekerja tentulah banyak tanggungjawa yang bakal dibebani pada bahu anda. Semoga tahun depan menjanjikan kehidupan dunia bekerja yang lebih cemerlang dengan azam baru berserta perancangan yang lebih sistematik dan efisyen.

Rutin hidup sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak juga akan kembali sibuk berbanding semasa cuti sekolah. Memastikan segala keperluan persekolahan cukup tersedia. Ah, ada lagi yang belum selesai. Keputusan penempatan Ammar ke Asrama SABK Nurul Islam belum dapat lagi, dia masih dalam senarai simpanan. Selepas 27 .12.2010 baru keputusan dikeluarkan. Kalau tidak dapat tinggal di asrama, memang aku akan menghadapi masalah menghantar dan mengambilnya pulang dari sekolah. Semoga Allah mempermudah urusan aku kali ini. Muhammad Muaz belum memberi kata putus akan Maahad Tahfiz pilihannya. Semoga Muhammad Muaz Allah menetapkan pendiriannya untuk meneruskan misinya  menghafaz Al - Quran di Darul Quran Kg. Kuala Sungai Baru. Menghantar Muhammad Muaz ke Maahad Tahfiz seawal usia 11 tahun tanpa melalui peperiksaan UPSR adalah keputusan yang julung-julung kali diambil oleh ahli keluargaku di sini. Memang banyak pro dan kontra. Tapi inilah keputusan yang telah aku putuskan insyaallah dengan petunjuk daripada Allah. Semoga inilah yang terbaik untuk Muhammad Muaz di dunia dan akhiratnya. Bukan senang untuk melepaskan anak ke asrama yang hanya dibenarkan pulang sekali dalam sebulan. Muaz perlu menguruskan dirinya sendiri. Semoga Allah mempermudahkan urusan aku kali ini.

Minggu depan juga aku sibuk dengan urusan pendaftaran dan pembelian buku-buku untuk Aisyah dan Hani. Kali ini perbelanjaan meningkat kerana Sekolah Rendah Al Azhar tidak dapat lagi memberikan pinjaman buku teks kerana Kementerian menarik balik peruntukan tersebut atas alasan sekolah swasta. Memang perbelanjaan persekolahan anak-anak setiap hujung tahun tak pernah kurang dari RM 2000. Setakat RM 500 yang diberikan kerajaan memang tidak dapat mengurangkan banyak beban yang ditanggung oleh ibu bapa yang mempunyai ramai anak yang masih bersekolah. Apatah lagi kalau ibu bapa ingin anak-anak mendapat pendidikan agama yang bersepadu. Bayangkan yuran pendaftaran ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan RM 400 lebih. Yuran pendaftaran ke Maahad Tahfiz RM 600 lebih. Ini kira yang termurah berbanding sekolah agama lain yang mencecah RM 1000. Itu belum lagi masuk pendaftaran asrama, yuran bulanan, keperluan dan peralatan yang lain lagi. Pendekata untuk anak-anak mendapat ilmu agama yang terbaik ibu bapa perlu sedia lebih banyak wang. Kalau tidak sanggup lebih baik hantar ke sekolah aliran kebangsaan sahaja. Sepatutnya sekolah-sekolah aliran agama seperti inilah dibantu supaya semua golongan mampu mendapat pendidikan yang terbaik. Kalau adapun sekolah agama yang terbaik tetapi tempat adalah terhad. Yang lain-lain, yuran mahal, menghadapi masalah tenaga pengajar yang tidak tetap serta prasarana yang tidak sempurna. Inilah masalah sekolah aliran agama yang perlu diselesaikan oleh pemerintah. Aku tidak berpeluang ke sekolah agama dulu kerana bapaku tidak mampu. Aku tak akan biarkan anak-anakku jahil agama. Semoga Allah memberikan aku rezeki yang murah dan diberkati.

Pagi tadi aku sempat mengikuti perbincangan dalam Program Wanita Hari Ini mengenai Bajet Persekolahan. Bagaimana ibu bapa dapat menguruskan bajet persekolahan yang lebih baik? Bagaimana anak-anak dapat membantu ibu bapa mengurangkan kos perbelanjaan persekolahan? Sesuatu yang agak menarik dan aku perlu mendapatkan buku Ibu bapa Hebat Anak Cemerlang. Oops ada satu buku yang aku perlu pulangkan kepada Perpustakaan Desa Kg. Tanjung sebelum 30.12.2010 iaitu Rahsia Buat Duit Melalui Blog.  Menarik untuk dicuba sebagai antara rutin 2011......... jadi atau tidak.........belum cuba belum tahu....... Rutin Lama Nafas Baru. 

Monday, December 6, 2010

Kembara Raudhah 36. Hijrah 1432


 Selamat datang  tahun 1432H. Apakah sudah terlaksana segala azam dan impian kita sebelum ini? Jika ya alhamdulillah, jika belum teruskan berusaha mencapainya. Yang penting kita menjadi lebih baik dari hari semalam pada setiap hari. Bolehkah? Insyaallah, aku pun masih terus berusaha. Kita hamba yang lemah banyak buat silap dan sering juga alpa. Moga Allah terus membimbing kita dengan hidayahNya dan kita tidak tersasar dari siratolmustaqiim.

 Hijrah memang Sunnah  para Nabi. Memang wajar kita mengikuti sunnah ini kalau tak hijrah tempat tinggal, tempat kerja, tempat belajar pun yang penting kita mesti berhijrah dari kurang ilmu, iman dan amal.  Hijrah ini memang amat berkesan di hati. Aku dan kita semua dapat melihat susah payah Nabi memperjuangkan penyebaran agama Allah sehingga kita di sini turut mendapat hidayah Islam. Ternyata 13 tahun dakwah Nabi di Kota Madinah penuh dengan ranjau dan duri waima tekanan, cercaan, kata nista, siksaan dan cubaan membunuh dikenakan kepada Nabi dan para sahabat ketika itu daripada kaum Musyrikin Mekah. 

Akhirnya Allah mewahyukan supaya Nabi berhijrah ke Madinatul Munawwarah utk memulakan dakwah di sana seterusnya membina negara Islam yang pertama di muka bumi ini. Selepas perjanjian Aqabah pertama kemudian  yang kedua dimeterai dgn penduduk Madinah yang dtg mengerjakan upacara tradisi di Kaabah pada bulan Zulhijjah , maka Nabi sejak awal Muharram lagi telah mengarahkan seorang demi seorang, sekumpulan demi sekumpulan para sahabat untuk berhijrah ke sana sehinggalah pihak Kaum Musyrikin mula menyedari akan penyusutan jumlah umat Islam di Kota Mekah. Selepas itu mereka merancang untuk membunuh Nabi. Perancangan Allah mengatasi segalanya, Nabi tahu perancangan musuh. Setelah menyusun strategi dgn teliti pada malam 28 Safar Nabi pun berhijrah bersama Abu Bakar. Tempat tidur baginda Ali yang baring utk mengelirukan musuh. Nabi keluar dari rumahnya bersama Abu Bakar dgn selamat walaupun dikepung oleh musuh setelah membaca satu ayat dalam surah Yasin pada pasir lalu di lempar kepada musuh menyebabkan musuh tertidur. 

Baginda jalan berundur kebelakang dari Kota Mekah iaitu ke  Gua Thur utk mengelirukan musuh. Tiga malam baginda di situ bersama Abu Bakar. Di sinilah kita menyaksikan betapa kasih sayang seorang sahabat terhadap kekasih Allah. Abu Bakar rela kakinya digigit binatang berbisa dan menanggung kesakitan daripada menggerakkan Nabi bangun dari tidurnya. Asma pula merupakan gadis sunti yang berani membawa makanan kepada Nabi dan ayahandanya demi melancarkan hijrah Rasulullah.  Baginda berhijrah ke Madinah menaiki unta dengan Abdullah b.  sebagai jurupandu yang pakar akan perjalanan ke sana. Baginda tidak melalui jalan biasa sebaliknya mengambil jalan di pinggir laut supaya musuh terkeliru. Abdullah bukan orang Islam tetapi beliau amanah dalam membantu hijrah Nabi. Justeru kafir zimmi di negara kita selagi tidak menentang agama Allah  perlu ditunaikan hak mereka.

Akhirnya perjalanan merentasi padang pasir dan gunung ganang yang gersang sejauh 420 km berjaya ditempuhi oleh Nabi dan Abu Bakar dengan selamat. Bayangkanlah betapa sukarnya perjalanan hampir 2 minggu Nabi menempuhi panas terik dan dingin malam di padang pasir demi menegakkan agama Allah di tempat yang menjanjikan cahaya yang lebih terang untuk agama Allah dan umat Islam seluruhnya. Tempat yang pertama Nabi berhenti dan solat ialah di Quba.  Tak hairanlah kalau sesiapa yang dapat berwuduk dari rumahnya kemudian bersolat sunat dua rakaat di masjid Quba mendapat pahala seumpama pahala orang yang melakukan umrah. Kemudian nabi meneruskan perjalanan sehingga tiba di depan rumah Abu Ayub Al Ansari unta tunggangan Nabi pun berhenti .Hari tersebut ialah 12 Rabiulawwal bersamaan tarikh hari lahir baginda. Lalu nabi menginap di situ. Akhirnya tempat tersebut dibina Masjid pertama di Madinah iaitu Masjid Nabawi. Kedatangan Nabi disambut meriah oleh kaum Ansar dari suku Aus dan Khajraz dan para sahabat yang terlebih dahulu tiba di sana. Dendangan nasyid tolla'al badru alaina, minthani yatil wadaaa'g wajjabatssyukrualaina, madaallillahidaai' berkumandang penuh kegembiraan menyambut ketibaan Rasulullah.

Selepas 17  tahun hijrah Nabi berlaku, atau selepas 7 tahun Nabi wafat barulah Saidina Umar al Khattab bersama para sahabat bermusyarah untuk memilih bulan permulaan bagi tahun hijr umat Islam. Hal ini kerana urusan pentadbiran surat menyurat ketika itu menjadi sukar kerana umat islam hanya ada bulan tetapi tiada tahun. Para sahabat bersepakat memilih bulan Muharram sebagai permulaan tahun hijr berdasarkan alasan permulaan Hijrah Nabi sebenarnya perancangannya bermula sejak awal Muharram lagipun selesai bulan Zulhijjah kebanyakan jemaah haji pulang ke kampung halaman dalam keadaan suci bersih daripada noda dan dosa seperti bayi baru dilahirkan. Maka Muharram layak menjadi bulan pertama kaledar hijrah sesuai untuk umat Islam memulakan buku baru dalam kehidupan mereka.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1432 DAN SEMOGA BERTAMBAH ILMU, IMAN DAN AMAL BUAT ANAK-ANAKKU, SEMUA SAUDARA MARA DAN PARA SAHABAT SERTA PEMBACA BLOG INI.