Thursday, December 23, 2010

Kembara Raudhah 37: Rutin Lama Kembali Semula Dengan Nafas Baru!!!!!!

Rutin hidup waktu bekerja akan kembali semula. Minggu depan 26.12.2010 bermula mesyuarat Guru yang pertama. Selepas itu, pendaftaran pelajar baru serta minggu orientasi.Pasti banyak tugas menanti untuk tahun 2011. Nama pun pekerja tentulah banyak tanggungjawa yang bakal dibebani pada bahu anda. Semoga tahun depan menjanjikan kehidupan dunia bekerja yang lebih cemerlang dengan azam baru berserta perancangan yang lebih sistematik dan efisyen.

Rutin hidup sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak juga akan kembali sibuk berbanding semasa cuti sekolah. Memastikan segala keperluan persekolahan cukup tersedia. Ah, ada lagi yang belum selesai. Keputusan penempatan Ammar ke Asrama SABK Nurul Islam belum dapat lagi, dia masih dalam senarai simpanan. Selepas 27 .12.2010 baru keputusan dikeluarkan. Kalau tidak dapat tinggal di asrama, memang aku akan menghadapi masalah menghantar dan mengambilnya pulang dari sekolah. Semoga Allah mempermudah urusan aku kali ini. Muhammad Muaz belum memberi kata putus akan Maahad Tahfiz pilihannya. Semoga Muhammad Muaz Allah menetapkan pendiriannya untuk meneruskan misinya  menghafaz Al - Quran di Darul Quran Kg. Kuala Sungai Baru. Menghantar Muhammad Muaz ke Maahad Tahfiz seawal usia 11 tahun tanpa melalui peperiksaan UPSR adalah keputusan yang julung-julung kali diambil oleh ahli keluargaku di sini. Memang banyak pro dan kontra. Tapi inilah keputusan yang telah aku putuskan insyaallah dengan petunjuk daripada Allah. Semoga inilah yang terbaik untuk Muhammad Muaz di dunia dan akhiratnya. Bukan senang untuk melepaskan anak ke asrama yang hanya dibenarkan pulang sekali dalam sebulan. Muaz perlu menguruskan dirinya sendiri. Semoga Allah mempermudahkan urusan aku kali ini.

Minggu depan juga aku sibuk dengan urusan pendaftaran dan pembelian buku-buku untuk Aisyah dan Hani. Kali ini perbelanjaan meningkat kerana Sekolah Rendah Al Azhar tidak dapat lagi memberikan pinjaman buku teks kerana Kementerian menarik balik peruntukan tersebut atas alasan sekolah swasta. Memang perbelanjaan persekolahan anak-anak setiap hujung tahun tak pernah kurang dari RM 2000. Setakat RM 500 yang diberikan kerajaan memang tidak dapat mengurangkan banyak beban yang ditanggung oleh ibu bapa yang mempunyai ramai anak yang masih bersekolah. Apatah lagi kalau ibu bapa ingin anak-anak mendapat pendidikan agama yang bersepadu. Bayangkan yuran pendaftaran ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan RM 400 lebih. Yuran pendaftaran ke Maahad Tahfiz RM 600 lebih. Ini kira yang termurah berbanding sekolah agama lain yang mencecah RM 1000. Itu belum lagi masuk pendaftaran asrama, yuran bulanan, keperluan dan peralatan yang lain lagi. Pendekata untuk anak-anak mendapat ilmu agama yang terbaik ibu bapa perlu sedia lebih banyak wang. Kalau tidak sanggup lebih baik hantar ke sekolah aliran kebangsaan sahaja. Sepatutnya sekolah-sekolah aliran agama seperti inilah dibantu supaya semua golongan mampu mendapat pendidikan yang terbaik. Kalau adapun sekolah agama yang terbaik tetapi tempat adalah terhad. Yang lain-lain, yuran mahal, menghadapi masalah tenaga pengajar yang tidak tetap serta prasarana yang tidak sempurna. Inilah masalah sekolah aliran agama yang perlu diselesaikan oleh pemerintah. Aku tidak berpeluang ke sekolah agama dulu kerana bapaku tidak mampu. Aku tak akan biarkan anak-anakku jahil agama. Semoga Allah memberikan aku rezeki yang murah dan diberkati.

Pagi tadi aku sempat mengikuti perbincangan dalam Program Wanita Hari Ini mengenai Bajet Persekolahan. Bagaimana ibu bapa dapat menguruskan bajet persekolahan yang lebih baik? Bagaimana anak-anak dapat membantu ibu bapa mengurangkan kos perbelanjaan persekolahan? Sesuatu yang agak menarik dan aku perlu mendapatkan buku Ibu bapa Hebat Anak Cemerlang. Oops ada satu buku yang aku perlu pulangkan kepada Perpustakaan Desa Kg. Tanjung sebelum 30.12.2010 iaitu Rahsia Buat Duit Melalui Blog.  Menarik untuk dicuba sebagai antara rutin 2011......... jadi atau tidak.........belum cuba belum tahu....... Rutin Lama Nafas Baru. 

No comments:

Post a Comment