Wednesday, November 24, 2010

Kembara Raudhah 35: Menjejak Silaturrahim Aidiladha 1431H


Tanggal 11 Zulhijjah 1431H bersamaan 18 November 2010 aku telah membawa anak-anakku untuk pertama kalinya menjejaki saudara mara arwah suami / abah mereka setelah 3-4 tahun tidak mengunjungi saudara mara di Parit Buntar. Ini kali pertama anak-anakku menaiki keretapi. Kami bertolak ke sana dari hentian keretapi Alor Setar jam 11.45 pagi dan tiba di Hentian Keretapi Butterworth sekitar jam 2.00 petang. Kiranya agak memuaskan juga perkhidmatan keretapi sekarang. Tetapi yang tidak memuaskan ialah perkhidmatan jualan tiket yang agak lambat dan kemudahan di hentian keretapi. Mungkin hari tersebut hanya satu kaunter dibuka, maka terpaksalah aku beratur lama dari jam 10.45 hingga 11.30 baru dapat beli tiket. Memang anak-anakku teruja untuk ke sana berjumpa saudara mara di sebelah abah mereka.

Kami menaiki teksi ke Taman Pelangi, rumah Bang Peack dan Kak Imah dari Butterworth. Walaupun tambang agak mahal iaitu RM 75 berbanding tambang bas hanya RM 4 seorang. Apapun yang penting anak2ku tidak letih berjalan ke hentian bas pada waktu panas terik. Di rumah Bang Peack ada Mak Ndak dan Pak Ndak yang masing-masing sudah tidak dapat berjalan lagi. Terharu dapat berjumpa semua di sana.Petang tersebut hampir maghrib kami bertolak ke Rumah Asu di Kemunting Taiping kerana memenuhi jemputan kenduri korban. Dapatlah kami berjumpa dengan anak2 Asu setelah hampir 7- 8 tahun tidak bertemu semenjak arwah Acik meninggal dunia.




Hari pertama dan kedua kami tiba, anak2ku masih belum dapat menyesuaikan diri dengan saudara mara di sana. Masing-masing buat hal sendiri. Almaklumlah lama2 sekali berjumpa. Pagi Jumaat esoknya anak2ku bukan main seronok dibawa Khairi naik motor ke rumah Pak Ndak di tebuk menyaksikan sembelihan lembu korban. Kemudian tengah hari tu kami ke rumah Ateh dan makan tengah hari di sana, Kesempatan itu aku ambil untuk membawa anak2 mengunjungi rumah mak selang sebuah dari rumah Ateh, Lama sungguh tak jumpa mak. Aku juga mengunjungi tuan guru Haji Ehsan yang terlantar tidak dapat berjalan. Beliau ditemani isterinya tok su. Terharu aku melihat keadaan tuan guru. Dulunya aku sering melihat beliau bermotorsikal ke mana2 khususnya untuk mengajar ilmu agama.

Di rumah Ateh anakku semakin mesra dengan anak2 Ateh. Mereka asyik berbasikal di halaman rumah Ateh bersama Nurin, Taqiudin dan Taqifah. Kemudian hampir waktu Asar kami ke rumah pusaka arwah Abah yang kini dihuni oleh Kak Awa dan Abang Ewah sekeluarga. Di situ juga aku bertemu kembali dengan Fatimah anak Pak Teh. Alhamdulillah dia sudah kembali sihat. Anaknya pun dah jadi anak dara sunti.  Kemudian kami ke rumah Bang Peack lagi untuk sama-sama membantu menyediakan juadah kenduri tahlil malamnya nanti. Kak Imah dan Bamng Peack dah selesaikan banyak perkara dah, kami hanya tolong sikit2 saja. Petang tu juga aku dapat bertemu Kak Awin,Kak Al sekeluarga, Bang Hasan anak beranak dan juga Kak Zie sekeluarga. Memang seronok dapat bertemu semuanya sekali. Anak2 ku juga semakin dapat menyesuaikan diri dan rapat dengan sepupu2 khususnya yang sebaya mereka.









Malamnya berlangsunglah majlis tahlil dengan menu istimewa di sini iaitu sup daging, cecapan, ikan kering, ulam timun dan sambal belacan. Ketua tukang masaknya ialah Bang Peack dan Kak Imah. Memang sedap. Anak2ku memang menggemari rasa cecapan. Keesokannya berlangsung majlis perjumpaan 4 generasi Keluarga Allahyarham Abas iaitu moyang anak2ku. Perjumpaan kali pertama ini dihadiri kebanyakan daripada keluarga arwah Along, arwah Pak Teh, arwah Abah, keluarga Pak Ndak dan Asu. Keluarga Arwah Pak Lang dan Pak Cik tidak dapat hadir. Anak2ku mungkin tidak dapat mengenali mereka semua tetapi mereka sedar bahawa mereka mempunyai ramai saudara di sebelah  arwah Abah mereka dan mereka gembira dapat berkumpul bersama bertahlil untuk arwah2 yang diketuai oleh Pak Ndak Azhar.

Kunjungan kali ini terpaksa ditamatkan.Sebelum pulang kami bergambar beramai2 di halaman rumah Kak Awin. Semua ada kecuali arwah Acik. Kami pulang pada petang 20 November 2010 dihantar oleh Paksu Pawi dan Mak Su Eliza serta anak2nya dan juga Fariza, Fatin dan Faqihah ke Hentian Bas Butterworth. Alhamdulillah kami sampai di Hentian Bas Shahab Perdana jam 7.00 malam dijemput oleh Yusri adikku. Anak2ku rancak bercerita pengalaman mereka di sana. Dan yang tidak aku sangka2 anakku Muhammad Muaz mengeluarkan ayat2 yang menyentuh perasaanku. Katanya " awal2 dulu Muaz rasa tak mau pi ke sana, tapi lepas tu rasa tak mau balik pula, macam nak menangis". Aku tanya semula" kenapa bila saudara mara ajak tinggal lagi di sana, Muaz nak balik pulak?" Jawabnya, "baju dah habih, takkan nak ulang baju tu saja". Itulah anak2, kadang2 kita tak jangka apa yang mereka rasa dan fikirkan. Terima kasih kepada semua. insyaallah panjang umur jumpa lagi. Sekurang2nya aku telah menjalankan satu lagi amanah menghubungkan silaturrahim antara anak2ku dengan saudara mara mereka di sana.

Friday, November 12, 2010

Kembara Raudhah 34: Sekali air bah sekali pantai berubah, Sekali kena musibah sendiri mau ingat

Banjir besar melanda negeri di utara semenanjung khususnya Perlis dan Kedah bermula 1/11/2010 hingga kini 12/11/2010 masih ada tempat yang belum surut banjirnya. Dulu banjir besar melanda setiap 20 tahun, kemudian setiap 10 tahun, kini setiap 5 tahun, akan datang wallahua'lam. Yang pastinya jumlah isipadu air hujan semakin bertambah, hingga apabila air dalam bumi sudah penuh tidak mampu lagi menyerap dan menyimpan air, ditambah pula air laut pasang besar, kemana air hujan mau pergi. Ikut laluan biasa, sungai makin kecil dan cetek sedang air makin banyak, tanah bendang yang boleh jadi kolam tebatan banjir semulajadi makin sedikit kerana dibina taman perumahan, pembangunan jalan raya, dan jalan keretapi lebih tinggi dari laluan air, akibatnya air hujan melimpahi tebing sungai masuk ke parit longkang di seluruh pekan, bandaraya, kampung dan taman perumahan. Berlakulah banjir besar atau bah besar melibatkan kira-kira 40,000 lebih rakyat Kedah menjadi mangsa banjir kerana air hujan yang banyak sedang mencari laluan untuk ke laut dan berlakulah bah besar antaranya tidak dapat dinafikan kerana perbuatan manusia itu sendiri yang membuat kerosakan di muka bumi Allah. Kejadian yang berlaku dengan pantas ini telah menyebabkan kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda dan kehilangan mata pencarian.

Insan yang mudah lupa, perlu sentiasa dingatkan. Antara peringatan Allah buat kita yang bergelar insan ialah musibah. Innalillahilaihiraajiuun. Kasih sayang Allah maha luas, justeru Allah menguji kesabaran hambaNya dengan ujian ini. Semoga hamba yang beriman terus sabar menerima ketentuan Allah, maka Allah akan meningkatkan darjat hambanya yang bersabar. Semoga kita yang alpa dengan kesibukan duniawi hingga lupa untuk bersyukur kepada tuan punya alam ini kembali bermuhasabah diri dan bangkit semula dari lena yang panjang. Sedarlah bahawa dunia semakin tua, kita saja yang perasan semakin muda sebab tertipu dengan kecantikan dunia. Setiap apa yang hilang daripada kita memang sebenarnya bukan hak kita, semua hanya pinjaman. Apabila dikehendaki kembali oleh tuannya, maka redhalah ia hilang daripada kita.

Memang cakap cukup mudah kerana lidah tidak bertulang. Siapapun tidak menolak kenyataan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Namun apalagi daya kita melainkan kembali semula semuanya kepada Allah, barulah jiwa kita jadi tenang. Jangan pula kita menjadikan bencana banjir ini sebagai modal untuk berpolitik sempit hingga mengeruhkan suasana kehidupan bermasyarakat sepertimana keruhnya air banjir kali ini. Siapa yang sempat membantu mangsa banjir, buatlah tanpa mengira siapa mereka.Usahlah dicanangkan ini bantuan daripada siapa bin siapa. Adakah kita belum lagi sedar akan peringatan Allah, hebat macammana sekalipun anda, hanya dengan tentera Allah yang paling lembut ini manusia tak terdaya menangkisnya. Allahuakbar!


Berbicara dengan orang yang sengaja membutakan mata hatinya, memekak telingannya ibarat berbicara dengan orang yang bodoh lagi sombong. Lebih baik diam daripada kita turut menjadi bodoh seperti mereka. Tetapi menegakkan kebenaran adalah lebih penting daripada membiarkan fitnah bermaharajalela.