Friday, November 12, 2010

Kembara Raudhah 34: Sekali air bah sekali pantai berubah, Sekali kena musibah sendiri mau ingat

Banjir besar melanda negeri di utara semenanjung khususnya Perlis dan Kedah bermula 1/11/2010 hingga kini 12/11/2010 masih ada tempat yang belum surut banjirnya. Dulu banjir besar melanda setiap 20 tahun, kemudian setiap 10 tahun, kini setiap 5 tahun, akan datang wallahua'lam. Yang pastinya jumlah isipadu air hujan semakin bertambah, hingga apabila air dalam bumi sudah penuh tidak mampu lagi menyerap dan menyimpan air, ditambah pula air laut pasang besar, kemana air hujan mau pergi. Ikut laluan biasa, sungai makin kecil dan cetek sedang air makin banyak, tanah bendang yang boleh jadi kolam tebatan banjir semulajadi makin sedikit kerana dibina taman perumahan, pembangunan jalan raya, dan jalan keretapi lebih tinggi dari laluan air, akibatnya air hujan melimpahi tebing sungai masuk ke parit longkang di seluruh pekan, bandaraya, kampung dan taman perumahan. Berlakulah banjir besar atau bah besar melibatkan kira-kira 40,000 lebih rakyat Kedah menjadi mangsa banjir kerana air hujan yang banyak sedang mencari laluan untuk ke laut dan berlakulah bah besar antaranya tidak dapat dinafikan kerana perbuatan manusia itu sendiri yang membuat kerosakan di muka bumi Allah. Kejadian yang berlaku dengan pantas ini telah menyebabkan kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda dan kehilangan mata pencarian.

Insan yang mudah lupa, perlu sentiasa dingatkan. Antara peringatan Allah buat kita yang bergelar insan ialah musibah. Innalillahilaihiraajiuun. Kasih sayang Allah maha luas, justeru Allah menguji kesabaran hambaNya dengan ujian ini. Semoga hamba yang beriman terus sabar menerima ketentuan Allah, maka Allah akan meningkatkan darjat hambanya yang bersabar. Semoga kita yang alpa dengan kesibukan duniawi hingga lupa untuk bersyukur kepada tuan punya alam ini kembali bermuhasabah diri dan bangkit semula dari lena yang panjang. Sedarlah bahawa dunia semakin tua, kita saja yang perasan semakin muda sebab tertipu dengan kecantikan dunia. Setiap apa yang hilang daripada kita memang sebenarnya bukan hak kita, semua hanya pinjaman. Apabila dikehendaki kembali oleh tuannya, maka redhalah ia hilang daripada kita.

Memang cakap cukup mudah kerana lidah tidak bertulang. Siapapun tidak menolak kenyataan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Namun apalagi daya kita melainkan kembali semula semuanya kepada Allah, barulah jiwa kita jadi tenang. Jangan pula kita menjadikan bencana banjir ini sebagai modal untuk berpolitik sempit hingga mengeruhkan suasana kehidupan bermasyarakat sepertimana keruhnya air banjir kali ini. Siapa yang sempat membantu mangsa banjir, buatlah tanpa mengira siapa mereka.Usahlah dicanangkan ini bantuan daripada siapa bin siapa. Adakah kita belum lagi sedar akan peringatan Allah, hebat macammana sekalipun anda, hanya dengan tentera Allah yang paling lembut ini manusia tak terdaya menangkisnya. Allahuakbar!


Berbicara dengan orang yang sengaja membutakan mata hatinya, memekak telingannya ibarat berbicara dengan orang yang bodoh lagi sombong. Lebih baik diam daripada kita turut menjadi bodoh seperti mereka. Tetapi menegakkan kebenaran adalah lebih penting daripada membiarkan fitnah bermaharajalela.

1 comment:

  1. salam.....Ni mesti blog cikgu maryam ni....hari ni bila kak salmah tengok dan baca blog ni...baru kak salmah perasaan...blog ni penuh informasi dan amat menarik.....sebelum ni kak salmah terlalu sibuk sampai tak sempat tengok sapa yang follow blog.....terima kasih.....teruskan berkarya

    ReplyDelete