Saturday, September 25, 2010

Kembara Raudhah 26: Selamat Menghadapi Peperiksaan

Sebahagian daripada para pelajar tingkatan 1 Jabir tahun 2008, sekarang sedang bergelut untuk menghadapi PMR, Semoga anda semua berjaya dengan cemerlang. Insyaallah.

UPSR telah selesai. Anak-anak, guru-guru dan para waris kini dapat menarik nafas lega. Beban tergalas di bahu dan di benak masing-masing telah berjaya dilepaskan. Tiada lagi kelas tambahan di sekolah sampai ke malam. Tiada lagi kelas tuisyen hujung minggu di pusat tuisyen. Belanja ibu bapa kuranglah sedikit. Hoorey, merdeka..., itu jerit anak-anak kita.

Kasihan mereka, kasihan guru-guru, kasihan ibu bapa, semua menjadi mangsa sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan. Prestasi sekolah, pentadbir, guru, anak-anak pelajar tidak dapat tidak akan diukur berdasarkan berapa A yang pelajar dapat. Eloklah kerajaan mengkaji semula sistem ini, mudah-mudahan satu rumusan yang terbaik dapat diambil dan dilaksanakan demi kebaikan semua pihak khususnya para pelajar yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan.

Seeloknya exam diteruskan, cuma diubahsuai dan silibus dikecilkan skopnya. Hal ini penting supaya para guru mempunyai cukup ruang untuk memantapkan kefahaman pelajar terhadap satu-satu bidang kemahiran yang diperlukan oleh pelajar. Pada waktu sekarang guru asyik mengejar silibus kerana luasnya silibus yang ditetapkan. Lagipun banyak waktu P&P guru dan pelajar hangus kerana mesyuarat, kursus, aktiviti ko kurikulum, persiapan hari sukan, hari anugerah dan macam-macam hari lagi. Belum termasuk lagi cuti sakit dan cuti rehat.

Apa-apapun selamat menghadapi peperiksaan kepada para pelajar tingkatan 3 yang lagi seminggu akan berhadapan dengan PMR. Semoga anda akan mendapat kejayaan yang cemerlang. Begitu juga dengan pelajar-pelajar tingkatan lima yang akan menyusul berhadapan dengan peperiksaan SPM. Jangan lupa restu daripada ibubapa dan para guru amat penting selain daripada kasih sayang Allah kepada kita. Berdoalah kepada Allah Rabbul Jalil dan pohonlah restu ibubapa dan guru-guru anda.

No comments:

Post a Comment