Saturday, January 15, 2011

Awal tahun 2011 bermula : Alam baru utk Muaz dan Ammar

Awal tahun ini merupakan saat yang mencabar buat Ammar dan Muaz yang terpaksa memulakan kehidupan berdikari. Perpisahan dengan keluarga untuk meneruskan misi menuntut ilmu adalah pengalaman baru buat Ammar dan Muaz. Jua saat yang perlu aku tangani dengan  bijaksana jika sebarang situasi  berbangkit wujud kemudiannya.

Ya Allah,tabahkanlah hati anak-anakku dalam mengharungi perpisahan ini. Ternyata minggu pertama adalah saat yang amat kritikal untuk mereka. Kubekalkan mereka dengan air yang dibacakan 30 juzuk al-quran,mudah-mudahan berkat ayat-ayat suci ini dapat menenangkan perasaan,menetapkan keyakinan, dan menerangkan hati mereka. Aku tidak begitu risaukan Ammar  kerana di sana mereka tiga sepupu belajar dalam  kelas yang sama. Yang kurisaukan ialah Muaz yang seorang diri berkelana di Darul  Quran yang masih serba kekurangan.

Ternyata telahanku kurang tepat. Ammar telah tewas menghadapi  saat ini.  Dia tidak  kuat  untuk memujuk hatinya supaya tinggal di asrama.  Dia pulang pada  hujung minggu ke rumah tetapi gagal untuk pulang semula ke asrama  walaupun sepupunya yang lain tiada sebarang masalah.  Dia  memang tidak  mahu tinggal di asrama. Pening kepala aku apabila dia buat hal, tetapi ku biarkan dulu.  Terpaksalah ku telefon ke pejabat sekolah menyatakan dia demam. Demamnya kerana mindanya yang mempengaruhi justeru segala energinya menjadi lemah.Dua hari kubiarkan saja dia di rumah melayan perasaannya sendiri. Pak Tamnya memberi kata dua kepadanya jika mahu terus belajar dia tetap kena tinggalkan rumah, jika tidak dia juga kena tinggalkan rumah untuk pergi bekerja. Akhirnya dia memilih untuk ke asrama. Alhamdulillah kini  dia  telah  dapat memikirkan tujuannya ke sekolah dan meneruskan pelajarannya seperti biasa.

Muaz pula,alhamdulillah dapat menahan  hatinya daripada rasa  rindu untuk pulang ke rumah  walaupun ada pelajar lain yang tewas.  Cuma Muaz masih gagal  menguruskan barangan peribadinya. Justeru terpaksalah aku mengunjunginya setiap hujung minggu memantau dan mengarah  supaya segala barangan peribadi terutama pakaian dibasuh dan disimpan dengan kemas. Minggu pertama sarung bantalnya koyak rabak, minggu kedua sarung tilamnya pula koyak. Yang itu hilang, yang ini hilang. Alahai Muaz, semoga cepat-cepatlah dirimu bijak menguruskan diri.  Alhamdulillah 2 minggu di Darul Quran Muaz dah tamat juzuk Amma.  Kini  Muaz dah mula menghafaz juzuk Al Baqarah. Semoga Allah mempermudahkan segala untuk anak-anakku.


Begitulah anak-anakku mengharungi alam baru. Semoga yang terbaik buatmu anak-anakku.