Wednesday, July 28, 2010

Kembara Raudhah 21:Bila Ramadhan Datang Lagi


Alhamdulillah lagi 12 hari lagi kita akan bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan yakni bulan Ramadhan almubarak. Moga-moga Allah memanjangkan umur kita sehingga kita sempat lagi melalui Ramadhan kali ini. Insyaallah.

Apa perancangan dan persediaan kita menyambut Ramadhan kali ini? Semestinya kita bersedia untuk mempertingkat lagi amal ibadah kita dan mengurangkan yang lagha terutama bagi kaum wanita hal-hal yang berkaitan dengan makan minum serta perhiasan menjelang aidilfitri.

Eloklah kita memperbaiki bacaan alquran kita sepanjang aktiviti tadarrus alquran, menganjurkan kelas-kelas agama bab menyucikan jiwa bagi mengisi masa sepanjang ramadhan, bersolat tarawikh, membanyakkan qiamullail, mengurangkan bercakap di siang hari kecuali yang benar2, beriktikaf di sepuluh malam terakhir dan seterusnya mendidik anak-anak dengan sunnah berpuasa cara Rasulullah S.A.W.

Bagaimana kita dapat memastikan kita hanya akan berbuka dengan segelas air putih dan 7 biji kurma sahaja? Kemudian terus solat. Sedangkan selama ramadhan yang berlalu kita berbuka dengan berbagai-bagai juadah yang memenuhi meja makan di rumah kita. Inilah cabaran besar yang mesti aku lakukan. Boleh atau tidak aku dan anak2ku mengikuti cara berbuka mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. Yang ini dulu perlu kita cuba, yang lain-lain insyaallah kita lakukan seterusnya. Semoga Allah membantu kita untuk memperbaiki ibadat kita kepadaNya.

Sabda Nabi S.A.W "jika umur sudah menginjak 40 tahun tetapi belum memperbaiki dan mempertingkatkan amalan kepada Allah SWT, maka bersiaplah anda untuk menuju ke neraka". Nauzubillah. Peringatan buat diri kita yang mudah lupa. Allah telah membentang nama-nama hambanya yang akan menjadi ahli kubur pada tahun hadapan dan dia tak akan sempat bertemu Ramadhan yang akan datang pada bulan Syaaban ini. Siapakah mereka itu? Kita tidak tahu, apakah sudah tiba giliran kita? Justeru marilah kita mempertingkat persediaan kita menuju ke alam yang kekal abadi.

Arwah Acik pernah mengingatkan aku pada malam terakhir Ramadhan yang dia sempat lalui iaitu bulan Ramadhan 1422H betapa para ulama sangat gembira dan tidak sabar2 untuk menyambut bulan Ramadhan dan sangat bersedih hati apabila Ramadhan hampir meninggalkan mereka kerana takut tidak lagi berkesempatan bertemu lagi dengan bulan yang mulia ini.Sejauhmana kedudukan kita dalam merindui Ramadhan kali ini? Aku sekadar mengingatkan diriku yang selalu alpa.

Wednesday, July 14, 2010

Kembara Raudhah 20:Apabila anak anda telah akil baligh


Antara sedar dan tidak, tiba-tiba anda terkejut apabila anak anda memberitahu anda bahawa mereka telah akil baligh. Maknanya masa begitu cepat berlalu, dulunya anak anda masih kanak-kanak tetapi kini mereka telah menjadi anak dara sunti mahupun anak teruna. Maknanya terkadang anda terlepas pandang perubahan pada diri anak anda kerana anda tidak peka atau terlalu sibuk. Sebagai ibu atau bapa terasa seronok juga sebab anak semakin menginjak dewasa, tapi takut pun ada sebab perhatian terhadap mereka mestilah lebih berat berbanding dulu. Kadang-kadang terasa mengapa terlalu cepat mereka akil baligh, tetapi itulah hakikatnya tumbesaran anak-anak zaman ini dipengaruhi juga oleh aspek pemakanan.

Anak yang akil baligh mesti diingatkan tentang banyak perkara berkaitan hukum-hakam orang yang telah akil baligh. Pergaulan mereka mesti dipantau agar sentiasa dalam syariat agama. Memang aku sedikit takut kalau-kalau tak dapat memastikan anak yang menginjak dewasa ini tumbuh menjadi generasi Rabbani. Nasib lebih baik jika anak-anak diberi pendidikan agama sedikit-sebanyak mereka pandai mengatur hidup mengikut kehendak syariat, namun ibubapa tak boleh sewenang-wenang menyerahkan tugas kepada guru-guru di sekolah semata-mata.

Apa-apapun anda tetap perlu melalui masa ini apabila masanya telah tiba. Semoga Allah membantu anda melalui detik-detik ini dengan jayanya.

Wednesday, July 7, 2010

Kembara Raudhah 19:In-house training di Pulau Payar

Indahnya pemandangan laut di Pulau Payar, Langkawi.


Di sinilah terdapatnya bbrp banglo berharga RM 1 juta sebuah, warna merah, putih dan kuning, itulah projek Gajah Putih zaman MB Kedah Syed Razak, mumbazir, lastly org bunian yg duduk kat situ. Alangkah baiknya jika banglo itu dibaik pulih dan digunakan drp dibiarkan kosong.
Lihat, begitu jernih air laut dan begitu banyak anak-anak ikan berenang di sini
Taklimat daripada pegawai Taman Laut Pulau Payar
Jeti Pulau Payar, menunggu bot untuk pulang jam 3.00 petang
Bersama rakan sejawat dan anak-anak cuba snorkeling.
Banyak sungguh anak-anak ikan pelbagai jenis termasuklah jenis ikan Yu pun ada, pantang diberi makanan, pasti banyak ikan berkerumun di situ. Subhanallah.


Baru2 ini Panitia Geografi sekolahku menganjurkan kursus dalaman berkaitan dengan pendidikan alam sekitar di Pulau Payar.Pulau Payar merupakan satu-satunya taman laut di Pantai Barat Semenanjung. Laut sekitar pulau ini merupakan lubuk ikan yang menjadi idaman para nelayan. Namun demi memelihara hidupan akuatik di sini, pewartaan taman laut telah dapat menyelamatkan hidupan terumbu karang dan ikan-ikan di sini daripada menjadi mangsa kerakusan manusia.

Ramai juga rakan sejawat yang mengikuti program ini dengan membawa ahli keluarga masing-masing kerana kos tambang lebih murah iaitu RM 90 dari Kuala Perlis ke Kuah dan ke Pulau Payar pergi dan balik. Lebih kurang 55 orang kesemua ahli rombongan kami. Kami bertolak seawal 6.00 pagi ada yang 5.30 pagi dah bertolak dan solat Subuh dalam perjalanan. Semuanya kerana mengejar trip bot pukul 7.00 pagi. Namun dalam pada itu Cg Afiza sekeluarga dan Kaunselor Rohimah terlepas bot, terpaksalah mereka membeli tiket yang baru utk ke Jeti Kuah.

Apa-apa pun utk ke sana kami perlu menaiki 3 buah bot, satu dari Kuala Perlis, then dari Jeti Kuah ke Pulau Payar then kena tukar bot di tgh laut utk naik bot kecil pulak utk ke Jeti Pulau Payar. Semuanya syarat utk menjaga hidupan laut di pulau ini. Kami sampai di Pulau Payar sekitar pukul 11.00 pagi setelah bertolak dari Kuah pukul 10.00 pagi.Padaku berbaloi aku berkorban masa dan wang ringgit sebab dapat lihat keindahan taman Laut Pulau Payar yang masih terpelihara hidupan akuatiknya. Mengembara di atas muka bumi Allah adalah sesuatu yang dituntut supaya kita boleh melihat kebesaran dan kekuasaan Allah swt yang menciptakan alam ini. Sedih juga kerana pegawai taman laut memaklumkan bahawa satu bahagian kawasan hidupan terumbu karang di pulau ini telah ditutup kerana musnah akibat permukaan laut yang panas belakangan ini(terumbu karang sensitif kepada suhu yang panas). Di pulau ini juga tiada bekalan air tawar, jadi kena bawa air mineral banyak2, sbb air paipnya ialah air masin. Lain-lain kemudahan seperti surau, chalet, pusat informasi, tapak perkhemahan, trek jungle trecking, pondok rehat, tandas dan tempat persalinan yang disediakan mencukupi dan bersih.

Kejernihan air laut dan putihnya pasir di pantai ini cukup menakjubkan. Ikan-ikan pelbagai jenis jinak berenang hingga ke gigi pantai. Subhanallah. Kalau dapat scuba diving lagi menarik, namun snorkeling pun aku tak lepas sbb tak pandai mengapung diri di atas air. Kesudahannya selesai juga satu inhouse, kami dpt kutip ilmu ttg alam sekitar di sini dgn membawa pulang kenangan dan vcd tentang taman laut utk Pusat Sumber sekolah dan Panitia Geografi. Ada masa bolehlah digunakan dalam P&P kepada pelajar2.

Letih juga kerana bangun seawal 4.30 pagi dan jam 9.00 malam baru sampai di rumah semula. Alhamdulillah semuanya selamat. Nanti ada kesempatan seronok juga jika dapat bawa anak2 ke sana melihat sendiri keindahan taman laut Pulau Payar.